Saturday, January 15, 2011

Daulat dan derhaka

Kebebasan bersuara di Malaysia sememangnya terjamin ‘keselamatan’-nya di dalam perlembagaan persekutuan. Walaupun kebebasan ini sedikit terganggu dengan kewujudan beberapa akta tambahan untuk mengehadkan kebebasan ini dari disalah guna (mengganggu kedudukan pihak-pihak tertentu.

Pada zaman kesultanan Melayu Melaka (1400-1511) kebebasan bersuara oleh rakyat hampir tiada. Hal ini kerana, pada zaman yang dikenali sebagai zaman feudal ini, pemerintahan dipecahkan kepada dua. Yang satu adalah terdiri dari golongan raja dan bangsawan dan yang satu lagi lagi adalah terdiri daripada rakyat dan hamba. Bagi golongan yang kedua ini, mereka tiada hak langsung untuk bercakap apa-apa berkenaan dengan hal ehwal pemerintahan. Mereka dipaksa untuk patuh tanpa bertanya, menurut tanpa rela. Tambahan pula, istilah DAULAT yang diguna pakai dan meletakan raja mengatasi golongan-golongan yang lain telah menghakis dan menidakkan elemen-elemen kritikan dan teguran daripada masyarakat yang diperintah kepada pemerintah. Manakala istilah DERHAKA diguna pakai bagi menggambarkan masyarakat yang diperintah yang berani ‘bersuara’ menentang institusi pemerintahan pada ketika itu.

Persoalannya, adakah pada hari ini, sekarang, today, fi hazal yaum, apa dalam bahasa hindu?, apa dalam bahasa cina?, kritikan atau perbedaan pandangan atau mempersoalkan keputusan raja atau sultan menjadi kesalahan? Atau boleh terus dilabelkan sebagai penderhaka? Adakah fahaman feudal yang telah ditanam di dalam jiwa masyarakat pada zaman dahulu perlu ditafsirkan dengan cara yang serupa pada hari ini?

Hari ini masyarakat telah keluar dari zaman itu. Zaman semakin berkehendakkan masyarakat untuk bebas mengkritik dan mempersoalkan apa-pa yang dirasa tidak wajar dan bersifat mengarut. Kemudiannya, kritikan ini perlu diambil sebagai pengajaran sekiranya kritikan ini bernas dan boleh menambah baik apa-apa perkara. Perbezaan pendapat, kritikan, mempersoalkan hal-hal tertentu dan kebebasan bersuara dalam kalangan masyarakat pada hari ini amat-amat diharapkan. Hal ini kerana, perkara yang disebutkan tadi akan membawa kepada penyelerakan idea-idea yang mungkin boleh membawa kepada pembaharuan sesebuah institusi dalam negara.

RAJA ADIL RAJA DISEMBAH
RAJA ZALIM RAJA DISANGGAH

No comments: