Wednesday, December 29, 2010

cari takut



Takut selalu dikaitkan dengan malam dan bukannya hantu. Cuba kau surahkan cerita hantu di waktu siang, budak-budak kecil akan terus mendengar tanpa rasa seram dan gerun dan tidak akan lari ke mana-mana. Bila disurahkan pula cerita-cerita seram pada waktu malam, kau akan kelihatan seperti bercakap sorang-sorang-budak takut untuk dengar dan lari tanpa kau sedari.

Dan, takut juga dikaitkan dengan benda-benda lain. Takut bini, takut tidak ada jodoh, takut putus cinta, takut itu dan takut ini. Takut kepada benda-benda ini wujud secara semula jadi tanpa perlu dicari.

Sewaktu pulang dari mana-mana tadi, aku terserempak dengan 3-4 orang gadis, orang kita. Semuanya pakai seluar pendek ketat menampakkan peha-peha yang menggiurkan. Aku nak sentuh… bukan peha-peha tu tapi bab aurat. Apa sebenarnya punca pendedahan aurat? Jawapan mudah, golongan-golongan ini tidak menemui apa yang dipanggil sebagai takut. Mereka tidak bertemu dengan takut. Mungkin takut itu tidak dicari atau mereka sudah mencari tetapi masih tidak berjumpa dengan takut.

Sama juga dengan pelaku maksiat, perasuah, perogol pembantu rumah, pembunuh altantuya, pemfitnah dan lain-lain. Semua ini dilakukan tanpa bertemu dengan takut. Jika bertemu dengan takut yang satu ini, pasti kelakuan-kelakuan keparat ini tidak dilakukan.

Takut apa sebenarnya yang perlu ditakuti? Takut apa lagi kalau bukan takut pada tuhan? Takut pada tuhan ini perlu dicari oleh setiap umat manusia. Cina, India, Melayu Islam perlu mula mencari takut pada tuhan masing-masing. Hanya dengan takut ini, kejadian-kejadian bangang tidak akan berlaku. Percayalah, agama mana pun tidak mengajar penganutnya untuk berkelakuan bodoh dan senget.

Sebagai seorang Islam, takut ini wajib dicari. Wajib ini lain dari wajib bagi penganut agama lain kerana kita percaya agama kita agama benar. Neraka itu benar. Syurga itu benar. Seksa kubur itu benar. Dan sebarang perlakuan kita akan dinilai. Maka, dengan perlakuan salah yang dilakukan tanpa perasaan takut pada tuhan, para pelaku perlu kembali bermuhasabah. Kenapa takut kepada tuhan tidak menguasai diri? Dan, kenapa berterusan melakukan kesalahan?

Carilah takut itu. Usahakan. Kongsikan.

1 comment:

FAREHAH ZAINAL said...

nice...kupasan yg baik tentang takut...