Thursday, December 2, 2010

Politik dan Kita

Ramai kenalan yang tidak suka untuk ambil tahu tentang politik kerana bagi mereka atau mungkin sesetengah masyarakat di negara ini beranggapan bahawa politik itu sesuatu yang menjijikkan, menjengkelkan, penuh dengan tipu daya, wujud penindasan dan sebagainya. Kesimpulan total yang dibuat oleh mereka ini dapat aku simpulkan pula sebagai kurangnya ilmu KITA tentang politik- maka lahirlah pandangan dan perspektif yang tidak sihat itu tadi.


Realitinya, politik itu sesuatu yang menarik! Politik yang mungkin difahami oleh sesetengah daripada kita hari ini mungkin hanya berkisar tentang politik kepartian(PAS, UMNO, PKR dan sebagainya), berkenaan pilihan raya, lompat parti, ketuanan Melayu, Perkasam (eh,Perkasa) dan lain-lain pandangan yang menyempitkan makna asal politik itu sendiri. Apabila skop politik itu disempitkan, maka perbahasan dan perbincangan menjadi agak membosankan. Justeru, amat penting sebenarnya untuk kita memahami terlebih dahulu apa sebenarnya politik sebelum menghukum Politik itu sebagai kotor.


Politik itu perlulah difahamkan sebagai kesemua aktiviti harian yang melibatkan masyarakat. Maknanya di sini, setiap aktiviti yang kita lakukan setiap hari yang menghubungkan kita dengan manusia lain seperti apa-apa sajalah – pergi kerja, mengajar, bermuamalah, bersembang, derma kepada anak yatim, beli rumah dan sekali lagi, apa-apa sajalah adalah politik. Masyarakat yang menjalankan aktiviti harian tadi disebut sebagai bersifat political. Namun, makna ini hanya sesuai digunakan dalam perbahasan umum untuk kita yang bergelar sebagai orang awam (lay men) dalam usaha kita untuk tidak membenci ‘politik’. Faham?


Bagi golongan yang mendalami ilmu politik pula, perbahasan berkenaan politik ini lebih dikhususkan. Politik bagi golongan ini menerima ‘politik’ sebagai yang difahami oleh golongan awam sebentar tadi ditambah dengan pengertian yang lebih khusus iaitu berkenaan kuasa, pengaruh, negara, institusi-institusi yang mentadbir negara, kerajaan, perundangan dan sebagainya. Politik dalam skop ini adalah lebih menarik sebenarnya.


Jangan kita ambil mudah tentang politik kerana politik yang baik akan sedikit sebanyak mempengaruhi hidup kita seharian. Sebagai contoh proses politik yang melibatkan pilihan raya. Sesebuah kerajaan yang akan memegang tampuk kuasa hanya ditentukan dengan jumlah majoriti di parlimen melalui pilihan raya. Kalau semua orang Islam dan golongan terpelajar memboikot pilihan raya, konon tidak mendatangkan faedah apa yang akan berlaku? Kerajaan akan tetap dipilih dengan melihat penguasaan Parlimen. Jika golongan ini bertindak ‘memulaukan’ pilihan raya, maka golongan yang lemah dan tidak sepatutnya diangkat akan menguasai Parlimen. Hasilnya, negara diperintah oleh mereka dengan sistem yang porak peranda. Mahu tidak mahu, pilihan raya (politik) ini perlu disertai kerana keputusan kita akan mempengaruhi keadaan.


Begitulah ringkasnya penerangan berkenaan politik. Hakikatnya, politik itu bersih tetapi individu yang ‘bermain’ dengan politik itu sebenarnya yang pengotor dan mengotorkan. Eeeeee.

Setakat itu dahulu, jangan benci-benci, faham? Terima kasih

No comments: