Thursday, November 11, 2010

TEMU BUAL USTAZ AZIZAN DENGAN HARAKAH

-duniacacamarba-

Beliau turun rumah pagi dan pulang semula ke rumah lewat malam. Bekerja keras, ke sana ke sini, demi memastikan rakyat Kedah yang ditimpa musibah mendapat bantuan yang sewajarnya. Tiba-tiba Menteri yang datang dengan menggunakan kapal terbang, menaiki kereta mewah, kaki pun tidak dibasahi air bah memfitnah beliau dan menggambarkan beliau tidak bersungguh-sungguh membantu rakyat Kedah.

Media perdana yang membuat liputan pula memutarbelitkan fakta dan cerita demi memenuhi kehendak pemerintah. Jadi apabila Ustaz Azizan melenting kepada wartawan seperti yang ditayangkan di stesen TV milik MediaPrima dan RTM, maka saya faham sebab beliau berbuat demikian. Biarlah blogger pro-UMCO mensensasikan klip video tersebut dengan ulasan yang jelas memfitnah beliau. Namun orang yang mengetahui realitinya akan faham sebab beliau berbuat demikian.

Saya petik:
Paras banjir Kedah makin surut memasuki hari ke-8, namun bukanlah masanya untuk memeluk tubuh. Kerajaan Negeri dan semua pihak terbabit, daripada hari pertama kejadian banjir melanda 1 November lalu bertungkus-lumus menyelamatkan lebih 40,000 nyawa sehingga ke saat ini.

Bantuan bertali arus, lawatan dan singgahan tidak putus-putus ke lebih 100 pusat pemindahan, untuk memastikan yang terbaik untuk penduduk Kedah menangani musibah menimpa. Dalam kesibukan dan kepadatan jadual turun padang, Menteri Besar Kedah Dato' Seri Ustaz Azizan Razak sudi mencebiskan masa, menjelaskan situasi banjir dan langkah drastik yang siap siaga daripada pihaknya.

Ikuti wawancara Ketua Wartawan Harakah Kedah AZAMIN AMIN, para wartawan Unit Penerangan Negeri Amelia Hashim, Azam Awang, Azryzamri dan Izwan Abdul Halim bersama beliau di pejabatnya 8 November lalu.

HARAKAH: Seluruh negara tertumpu kepada banjir terburuk yang melanda negeri ini, boleh Dato' Seri jelaskan situasi terkini banjir yang telah memasuki hari ke-8 (8November)?

USTAZ AZIZAN: Alhamdullilah, hari kelapan ini keadaan semakin pulih dan air surut di kebanyakan tempat malah beberapa pusat pemindahan telah ditutup dan sebahagian besar sudah pulang ke rumah. Cuma masih ada di kawasan Kota Setar sebab air tadahan laut mula berhimpun di sini.

Kita harap kalau tiada hujan esok atau lusa ... semua selesai, banjir habislah. Cuma tinggal sikit. Di kawasan DUN Anak Bukit mungkin memakan masa dua tiga hari ini tapi ikut maklumat dari meteoroloji kalau hujan turun mungkin berpanjangan.

Dari segi gangguan-gangguan komunikasi, jalanan air dan elektrik semua sudah pulih. Yang terlambat di kawasan loji air Bukit Pinang dah sehinga pagi tadi 90 peratus telah beroperasi. Bagi kawasan Padang Terap dan Kubang Pasu, semua beroperasi semula manakala bekalan air disambung balik termasuk elektrik pun telah berfungsi dengan baik.

Jalan raya pula boleh dikatakan 90 peratus sudah dapat dilalui kecuali Jalan Putra antara Alor Setar ke Alor Janggus. Ada air dalam di batas jalanraya dan bebebrapa kawasan di Gunung. Air dalam sawah masih melimpah. Saya bercakap air yang sudah kering di atas jalan raya.

Keseluruhan mangsa yang pindah mencecah 40,000 sekarang sudah tinggal sedikit. Mengikut data ini (sambil menunjukkan rekod terkini) mangsa yang telah pulang sehingga jam 3.00 petang ini berjumlah 30,662. Kawasan Padang Terap semua pusat pemindahan telah ditutup kerana keadaan semakin pulih. Hanya tinggal kawasan Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang sahaja lagi.

Bagaimana bentuk bantuan kerajaan negeri dan jumlah peruntukan yang diberikan bagi tujuan operasi dan membantu mangsa banjir, ketika mula-mula tragedi ini menimpa?

Untuk makluman Kerajaan Negeri pada hari pertama telah mengambil tindakan segera dimana kita memberi tiga pihak yang mengendalikan mangsa banjir. Dari segi penempatan mangsa yang mengendalikan ialah Pengarah Operasi iaitu di pihak Setiausaha Kerajaan peringkat negeri dan peringkat daerah oleh pegawai daerah dan peringkat penempatan adalah penghulu.

Kita mengkoordinasi dengan semua agensi kerajaan. Dengan pihak polis, tentera, bomba, pertahanan awam, Rela dan agnesi penyelamat termasuk bahagian perubatan dengan semua bergerak serentak..serta-merta bertindak. Itu kita operasi dari hari pertama kita menghadapi banjir.

Manakala kerajaan negeri memberi bantuan bekalan, kita salurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM). Semua pusat penempatan banjir ditanggung oleh kerajaan negeri .

Sehinggalah pihak lain datang memberi bantuan. NGO dalam negeri dan luar kedah. Pada peringkat awal sehingga hari ini pun memang kerajaan negeri buat peruntukan dan semua itu disalur ke pejabat daerah kawasan yang terlibat.

Apa antara kekangan dan halangan yang berlaku?

Jadi peringkat awal memang kita hadapi beberapa masalah kerana air naik cepat dan kita bertindak berdasar kepada nasihat dari pihak egensi tertentu daripada Jabatan Saliran, Polis, beberapa agensi lain bomba dan seumpamanya.

Tentang kedudukan banjir ini, air naik mendadak dan mengundang tempat-tempat yang bahaya. Berdasarkan maklumat ini kita terus buka dan menyediakan tempat pemindahan.

Keduanya makluman kepada penduduk supaya meninggalkan rumah mereka dan datang ke tempat pemindahan.

Semua dapat menerima nasihat kita, tetapi ada segelintir masih berdegil dan nak duduk di rumah.

Akhirnya bila lepas beberapa jam air naik, baru mereka hendak datang masa itu dan kita menghadapi masalah kerana pihak penyelamat tak sempat nak pergi tolong kerana jalan sudah terputus. Jalanraya menjadi sungai, kenderaan ringan tak boleh pergi dan kenderaan beratpun tak sampai.

Maka kita kena pergi dengan bot-bot tentera atau bomba tapi bila sampai tengah jalan tak boleh pergi kerana tempat sudah tersekat dan air sebelah sana, sudah jadi macam pulau. Jadi melambatkan usaha menyelamat.

Itu bila kita lambat sampai, kita memerlukan kerjasama dari penduduk supaya pindah lebih awal. Kita nasihat. Kemudian penempatan pusat banjir berlaku masalah lain pula. Kita buat persiapan untuk 3,000 tiba-tiba datang lebih 4,000.

Yang asal tak mau pindah mula datang tiba-tiba. Bila sampai, kita tak cukup nak masak bagi makan tengahari atau malam. Bagaimanapun kita telah atasi dengan cepat.

Tak lama selepas itu, bekalan elektrik terputus bagi mengelak bahaya. Air bersih juga tak dapat disalurkan sebab loji tenggelam dan air terlalu keruh sehingga bahan ketika itu tak boleh rawat air lagi.

Itu automatik dan pihak kita tak boleh pergi ke loji kerana jalan dah jadi laut. Jadi dengan sebab itu kita terpaksa cari bantuan air. Ini kerana Sayarikat Air Darul Aman (SADA) tak cukup lori dan peralatan di sini. Kemudian selepas dua hari, kita mendapat daripada bekalan air daripada Pulau Pinang,Selangor dan Perak.

Mereka hantar air, kita supply semua tempat penempatan dan hospital. Semua tangki berkerja 24 jam. Lebih 100 tangki.

Di sinilah mereka kata kita tak buat keja. Kita tak gagal nak buat. Ini bukan satu kejadian yang semua jangka.Agensi kerajaan negeri dengan kerjasama dengan Kerajaan Pusat dengan agensi bantuan Kedah beri sumbangan. Yang kita buat. Makanan kita boleh masak tak ada masalah. Makanan kerajaan negeri salurkan semua penempatan.

Cumanya ada tempat-tempat yang mereka tak boleh keluar dia tak dapat makanan kita tak boleh hantar pasal jalan terputus. Itu saja kita sekarang ini masih menerima bantuan-bantuan dan kita meningkatkan peruntukan kita sehingga RM600,000 dan kita 'stanby' lagi RM2 juta untuk tujuan beri bantuan semasa mangsa berada di tempat pemindahan.

Zakat pula beri RM500,000. Tuanku Sultan Kedah sumbang RM100,000 manakala derma dan sumbangan lain kita telah terima sebanyak RM2 juta.

Bagaimana fitnah dan tuduhan tidak berasas pemimpin politik dan menteri berkaitan bantuan banjir di Kedah ini sambil mengungkap kata-kata 'lepas tangan' dan mendakwa Dato' Seri mengharap pertolongan Pusat?

Dia silap. Dia datang sejam kemudian buat komen. Ada yang tak turun lagi kaki ke Kedah, sudah buat kenyataan tak cerdik...tak tengok lagi keadaan di sini. Kita duduk di sini dah 60 jam.

Bagaimana dia buat kenyataan tanpa datang bilik gerakan? Dia tak hubungi pihak auotoriti negeri seperti Bilik gerakan utama negeri. Tak tanya sama ada peringkat Setiusaha kerajaan negeri atau pegawai daerah.

Dia hanya melawat tempat pusat penempatan banjir kemudian mendengar laporan daripada daripada seoarang dua ketua umno di situ. Fakta mana dia dapat?

Kita kerja tak putus. Semua pegawai bertugas seminggu siang malam. Dia buat kenyataan sedap-sedap kata kerajaan negeri lepas tangan. Dia dapat maklumat dari tepi jalan. Dia sepatut mai dengar di bilik gerakan negeri.

Di situ ada polis tentera. Jeneral pun duduk bersama kita. Ketua polis, ketua bomba, semua pengarah-pengarah ada bersama–sama kita. Tiba-tiba buat kenyataan yang tak cerdik.

Dalam kedaan musibah menimpa pun mereka masih main politik, Dato Seri?

Mereka buat kenyataan politik. Tambah hari ini kata air datang dari Hatyai . Itu tak betul. Kita cakap masalah banjir berdasar daripada pihak agensi yang terlibat. Yang bertanggungjwab. JKR, MADA dan JPS, pengarah mereka tahu pergerakan air. Dah dengar maklumat hari itu baru kita buat kenyataan.

Adakah Timbalan Perdana Menteri (TPM) bercakap dengan pengarah JPS dan pihak lainsebelum keluar kenyataan kita 'lepas tangan'?

Antara punca banjir sebenarnya....

Hujan bermula di Padang Terap bukan di Hatyai. Tradisinya akan mengalir ke Pokok Sena. Air kemudian ke Derang terus ke Wang Tepus. Jitra dari Dehrang turun ke sungai Tajar dan akan pergi ke Sungai Haji Deris. Sebahagian ke kawasan Pendang taoi tahun ni terus tembus sampai Changloon.

Masalah air turun diganggu oleh pembinaan landasan keretapi yang tertumpu di Alor Setar. Landasan itu sepatutnya ada saluran air yang lebih besar. Tapi saluran bilangan sikit dan kecil. Maka air lambat keluar maka berlaku tempat-tempat yang selama 20 ke 30 tahun tak pernah ditenggelami air.

Pihak JPS kata air tak jalan kerana pembinaan landasan keretapi. JPS yang juga hak kerajaan pusat dan dan kerajaan negeri. Jadi kita sebut kita minta dibuka saluran sebab jalan air ini sempit.

Kita panggil hari tu syarikat terbabit dia tak datang. Petang datang dia mesyuarat dan dia setuju nak luaskan saluran air keluar mudah ke laut dan memang dia korek hari itu juga.

Kalau dia tak korek dan saya arahkan JPS untuk buka saluran kepada orang wam. Bila dia buka sekarang dah cepat kering. Lepas buka, terus kering. Memang saluran kecil.

Dalam hal ini syarikat kata dia rugi. Gangguan. Kenyataan KTM Berhad kata dia rugi. Ini cakap tak bertanggungjawab. Dia rugi dan hanya penting keuntungan. Rakyat rugi yang tak berniaga, beratus juta wang habis. Rosak harta benda. Rakyat rugi ratusan juta. Ganggu kerja dan kehidupan orang awam sampai sekarang.

Kenapa cakap macam tu. Kenapa nak simpati dengan pihak syarikat GAMUDA dan KTMB ini? Mereka yang tak buat kerja dengan cara betul. Ini rakyat biasa yang setiap bulan dok potong nak bayar sewa rumah RM700-800. Dapat gaji seribu. Sekarang nak kena baiki sana sini rosak sampai 4 dan 5 hari sebab rumah tenggelam.

Musnah harta benda. Kenapa tak bercakap kerugian rakyat... yang tau dia bercakap kerugian dia saja. Maka tak peliklah bila rakyat saman dia lepas ni.

Saya difahamkan rakyat akan buat tuntutan mahkamah. Biar mahkamah putuskan air naik berpunca daripada mana. Kesilapan dia memang banjir hujan lebat. Ini salah satu faktor yang lambat air nak turun.

Itu cakap dan bila saya bercakap mula-mula pihak keretapi tanah melayu menafikan. Bila petang pihak yang Gamuda datang baiki. Makna dia bercakap atas maklumat yang tak betul.

Saya bercakap dengan mereka buang masa. Saya bercakap fasal rakyat saya. Maka sebab itu saya arahkan semua kerajaan tempatan semak dan kaji semula tentang kelulusan yang kita bagi kepada Gamuda tentang landasan keretapi ni.

Kita akan semak semua persetujuan kita benarkan dulu. Kerana ianya membebankan rakyat. Esok ada mesyuarat, saya arahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan Kubang Pasu, Kota Setar dan Padang Terap semakan semula tentang kelulusan yang kita bagi ni.Dan kita takkan benarkan lagi sehingga mereka selesaikan masalah ini.

Pasca banjir, apakah yang akan dilakukan kerajaan negeri untuk memulihkan dari segi kerugian mangsa banjir?

Kerugian ada dua. Harta benda seperti rumah dan kereta . Kedua kerosakan tanaman. Tanamam kita serah pada MADA kerana yang ambil tanggungjawab itu Pusat.

TPM kata akan buat jawatankuasa selepas banjir. Kita akan serahkan untuk peruntukan yang diperlukan. Kenapa pegawai TPM datang Kedah tak jumpa saya.

'Mai rumah kita kena tanya kita...tuan rumah'. Demokrasi dia laung-laungkan. Sepatutnya kena tanya saya. Maka sebab itu tak pelik takda seorangpun pegawai kerajaan negeri yang sambut TPM di stadium. Yang ada seorang pengurus stadium.

Sebab apa? Kerana dia nak dengar daripada maklumat Umno cakap, bukan cakap kerajaan negeri. Sepatutnya sebagai negeri persekutuan dia (TPM) kena mai jumpa saya. Hubungi kerajaan negeri seperti saya hubungi Menteri Besar negeri lain minta tolong.

Kerana kami tak cukup peralatan. Minta kenderaan dari Perak dan kereta air tangki dari Selangor. Air kita ada di paip-paip yang kita baiki tapi 'tangker' (lori) tak ada. Hanya ada 20 sahaja... tak cukup.

Takpalah mereka datang nak tolong. Terima kasihlah dah dia duit banyak dia mai tolonglah. Keranjaan negeri takda duit. Tapi tak payah ajar kita... kita tahu apa nak buat.

Pelbagai cemuhan dan kata-kata nista, apa bidasan Dato' Seri?

Dia mengatakan kita sensasi. Kita tak tanyapun dia orang yang terima bantuan itu Umno atau PAS. Peruntukan diambil dari kerajaan negeri. Itu saja .

Saya tak tunggu bantuan kerajaan pusat. Sekalipun saya tak minta. Siapa kata saya minta? Siapa kata saya lepas tangan.

Muhyudin (TPM) kata saya lepas tangan. Pernah pejabat saya hantar surat ke kl minta selesaikan masalah? Tak ada.

Saya merayu NGO kalau berlaku gempa bumi di Pakistan di Afganistan, Indonesia berduyun-duyun pi tolong di sana. Kenapa tak tolong di Kedah. Itu saja saya minta kepada NGO.

Saya tak pernah tulis kepada PM tolong saya. Saya tak pernah tulis surat Shahrizat mai sat tolong saya. Dia turun pun pi Tunjang bukan tempat banjir. Kaki kasut dia pun tak basah. Nak cakap apa...

Mungkin, Dato Seri nak 'nasihati' mereka yang membuat fitnah dan ganggu keadaaan?

Pelik di mana yang saya lepas tangan? Itu political statement tapi pihak BN mengeksploit untuk kepentingan politik.

Pasang bendera BN di Stadium Sultan Abdul Halim ketika Muhyidin nak trun. Maka jadilah lebih publisiti daripada misi kemanusian.

Saya datang tak ada bendera PAS atau Kedah iring saya. Ada pihak Umno sendiri nak control.. puteri-puteri Umno menafikan bantuan kononnya . Terhalang orang nak melawat tak boleh.

Itu tak tamadun... otak tamadun sempit. Politik sempit. Kita tak boleh termasuk menteri yang dibodohkan oleh pemimpin umno di Kedah. Dan rakyat akan menilai mereka.

Difahamkan Dato' Seri telah melawat lebih 20 pusat penempatan banjir, 6 bilik gerakan malah meredah banjir tujuh hari berturut-turut untuk bertemu mangsa, boleh gambarkan kedaan mereka?
Saya simpati dengan mereka. Tempat pertama saya pergi ke Padang Terap... semua tempat saya pergi. Masjidnya, surau, sekolah dan bercakap dengan mangsa. Anak-anak gembira sebab berkumpul ramai. Cuma ibu-ibu agak runsing kenangkan rumah. Tempat tinggal, makan minum tak ada masalah. Siap bantal selimut dan kain. Tempat lain begitu juga.

Orang kita...alhamdulillah mereka tenang dengan ujian Allah. Layanan kita baik dan para sukarelawan menolong mereka dan cuma adakalanya lambat. Kerana nak siapkan makanan tu.

Biarlah kita centerlisedkan makan. Macam di Jitra tu supply nak bungkus, nak hantar lagi terlambat terutama hari pertama. Dengan lampu tak ada dan panas. Jitra sekolah cina, dewan cina kadang kadang baru pindah ke pusat penempatan tiba-tiba berapa jam air naik, pindah tempat lain pula. Inilah terpaksa kita gunakan jentera-jentera kenderaan berat.

Akhir kata, apa yang boleh Dato' Seri titipkan buat menguat semangat mangsa banjir, sukarelawan dan semua pihak yang membantu banjir terburuk dalam sejarah yang datang mengejut ini?

Saya sangat menghargai, sukarelawan, agensi penyelamat, semua pegawai kerajaan negeri dan semua pihak yang cukup baik. Saya pun keluar siang malam meninjau tempat banjir.Kebetulan rumah saya juga dimasuki air, termasuk para pegawai dan kitangan yang lain.

Saya keluar 4 petang balik 11 malam. Keluar 10 pagi balik petang. Malam pergi pula, saya pindah dari satu bilik gerakan ke satu bilik gerakan. Saya selalu hubungi SU kerajaan dan pengarah bertanya apa kekurangan. Semua cukup 'standby', jika perlu kita arah keluarkan duit kerajaan negeri .

Semangat mangsa dan sukarelawan diharap semakin tinggi sebab pihak ingin membantu. Saya ucapkan terima kasih kepada semua dan yang ingin membantu, saya ucapkan selamat datang.

Bagi mangsa banjir bersabarlah atas ujian Allah. Alhamdulliah kita selamat, cuma hilang harta benda tapi tak hilang keluarga. Kita bersyukur.

No comments: