mujahid rawa@themalaysianinsider
28 APRIL — Istilah kalah dan menang dalam proses demokrasi berpilihanraya tidaklah semudah yang diungkapkan. Walaupun kalah tetap kalah dan menang tetap menang namun apa yang lebih penting daripada itu ialah bagaimana seorang calon itu boleh menang dan bagaimana seorang calon itu boleh kalah.
Oleh kerana Malaysia mengamalkan demokrasi separuh masak maka satu analisa mestilah melihat kepada keseluruhan sistem yang mempengaruhi corak dan perilaku pengundi dalam menjalankan tugas mereka.
Sebelum itu kita harus akur, Pilihanraya Kecil (PRK) tidak mungkin sama dengan (Pilihanraya Umum) PRU dari sudut tumpuan dan mobilasasi jentera parti, kedua dalam PRK kerajaan mempunyai segala kemudahan untuk dieksploitasikan bagi tujuan memujuk pengundi sedangkan dalam PRU, jentera kerajaan bersifat ‘caretaker’ yang walaupun dinodai oleh BN tetapi tetap membataskan tahap ‘keselesaan’ yang boleh dinikmati.
Analisa pertama kepada kemenangan BN ialah bagaimana jentera kerajaan Pusat yang dikuasai BN digunakan habis-habisan untuk berkempen. Paling utama ialah kerahan kepada menteri-menteri untuk meluluskan atau isytihar meluluskan apa-apa projek di kawasan HS bagi membuktikan keprihatinan BN kepada masalah rakyat.
Kedua ialah proses pilihanraya dicemarii dengan liputan media yang berat sebelah menggambarkan parti lawan BN sebagai ‘haprak’ dan tidak berkualiti. Tanpa kekuatan moral para pengamal media perdana menulis apa sahaja yang mereka rasakan dapat menggambarkan keburukan parti lawan BN dan mereka langsung tidak memberi ruang untuk dijawab oleh pihak yang diserang.
Keadaan ini amatlah mendukacitakan kerana antara tuntutan proses demokrasi berpilihanraya ialah perlu ada ruang media yang bebas dan berkecuali dalam membuat liputan supaya media berperanan memantapkan hak kebebasan mendapat maklumat bukan sebaliknya.
Walaupun dalam tuntutan BERSIH tempoh hari perkara ini dibangkitkan namun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menjawab persoalan ini dengan mengatakan bahawa ianya di luar bidang mereka, walhal SPR boleh mengambil tindakan kepada pihak yang membuat liputan berat sebelah kerana menganggu proses pilihanraya yang mana SPRlah yang menjadi institusi utama dalam menjayakan proses ini.
Namun apakan daya SPR hanya ‘boneka’ kepada BN dan haknya terbatas kepada kehendak BN yang jika benar-benar SPR bebas dan berkecuali dalam segenap segi pasti keadaan ini akan merugikan BN.
Jikalau inilah makna proses pilihanraya di Malaysia yang keadaanya berat sebelah sudah tentu penguasaan mereka ke atas pengundi begitu besar sehingga menyebabkan Datuk Zaid calon PKR kemungkinan akan hilang deposit dan kalah dengan malunya namun jika dianalisa keadaan dan corak pengundian segala ‘sampah’ yang ‘dilonggokkan’ kepada pengundi tidak menjadi malah tidak berbaloi pulangannya. Buktinya Datuk Zaid mendapat 23,272 undi dan tewas dengan 1725 undi sahaja! Malah undi kepada Datuk Zaid berbanding sebelumnya yang diperolehi oleh Datuk Zainal iaitu 23,177 menunjukkan undi duluan tidak lari banyak.
Implikasi kepada keputusan ini amat besar kepada proses demokrasi di negara ini seolah-olah pihak kerajaan hari ini tidak peka bahawa taktik ini sudah kolot dan ketinggalan zaman, rakyat tidak lagi menjadi ‘mulut-mulut’ yang ‘ternganga’ menerima apa sahaja yang disuapkan kepad mereka secara paksa.
Bukankah masanya keputusan PRK yang kali ke sebelas ini menuntut kerajaan hari ini insaf dan bertaubat?
Analisa undi mengikut kaum pula menggambarkan sesuatu yang amat membimbangkan BN, bak ungkapan Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS, “Gembira dalam gelisah.”
Memang kegelisahan itu ada kewajarannya kerana PKR mempertahankan kerusinya daripada direbut oleh BN yang merupakan landasan perpaduan parti politik berbagai kaum berumur hampir 36 tahun dibandingkan PR yang hanya 2 tahun.
Pun demikian undi kaum Cina membuktikan penolakan mereka kepada gagasan BN kerana BN hanya mendapat 5,164 undi di kawasan padat Cina berbanding PR yang mendapat 7,194. Perbandingan dahulu menunjukkan Datuk Zaid mendapat 6 kali ganda sokongan iaitu 344 majoriti undi Cina berbanding 2,030 sekarang.
Bukankah ini isyarat yang mengerunkan BN. Sepatutnya BN yang berbangga dengan gagasan perpaduannya berjaya meraih sokongan orang Cina namun kemaraan PR sebagai parti yang lebih berwibawa memikul perpaduan ini merupakan cabaran terbesar BN untuk PRU ke 13 nanti. Kenyataan ini seolah menggambarkan BN dan konsep perpaduannya tidak lagi releven untuk rakyat Malaysia.
Peningkatan undi Cina sebagai kontranya membawa kebimbangan kepada PR terhadap undi Melayu yang gagal ditembusi Datuk Zaid. Kebanyakan Felda dan beberapa perkampongan Melayu seolah-olah menolak dan belum lagi yakin dengan kemampuan PR membawa aspirasi Melayu dan Islam.
Walaupun PAS bertungkus lumus di tempat dominon Melayu ini tetapi sentiment kuat pengharapan kepada Umno yang menjadi tonggak BN masih tebal. Walaupun demikian isyarat ini tidaklah sangat membimbangkan jika dibandingkan dengan undi Cina yang diperolehi kerana Datuk Zaid berjaya meningkatkan undinya di Kalumpang dan beberapa kampong Melayu yang lain. Bagi PAS trend ini iaitu Melayu masih tidak menyokong PR perlu diambil peringatan penting kerana dalam persaingan politik PR dan BN, PASlah yang akan berhadapan dengan majoriti Melayu dalam Pilihanraya yang akan datang.
Selagi PAS tidak berjaya membawa aspirasi Melayu dalam kerangka PR sebagai wahana masa depan politik negara selagi itulah corak pengundian kaum tidak akan berubah dan ini memberi kelebihan kepada Umno/BN untuk terus berkuasa dan keseimbangan kaum akan terbahagi kepada bukan Melayu sokong PR dan Melayu akan terus sokong Umno, keadaan ini tidak baik untuk masa depan politik negara dan kemungkinan Umno terdesak untuk menggunakan sentiment perkauman amatlah tinggi untuk meneruskan hegemoni Melayu supaya terus berkuasa.
Akhirnya undi rosak rendah berbanding dengan 2008 sekaligus menjawab peningkatan undi kepada BN kerana kemungkinan undi rosak yang tinggi dahulu dapat diselamatkan melalui P. Kamalanathan kali ini.
Begitu juga undi Pos 767 undi pergi ke BN manakala hanya 120 kepada PKR dan ini tidaklah mengejutkan kerana isu undi pos ini terus dipertikaikan ketelusannya oleh PR. Apa pun MIC mendapat sedikir oksijen untuk bernafas walaupun saya yakin hanya sementara.
Kemenangan ini tidak membayangkan masyarakat India kembali menyokong MIC tetapi yang pasti Umno terus mendominasi undi Melayu dan trend ini tidak baik untuk PR jika rancangannya untuk ke Putrajaya terus membara. Jadi kalah atau menang bukanlah isunya tetapi apa yang penting ialah pengajaran untuk memperkemaskan strategi untuk PRU ke 13. Tahniah kepada pengundi HS kerana membawa mesej besar kepada penulisan ini!
No comments:
Post a Comment