Tuesday, March 30, 2010

KITARAN PEMBODOHAN MAHASISWA



-Hariszuan Jaharudin, pelajar tahun akhir Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia. Aktivis KAMI (Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen)

Beban kata ‘maha’ kerap kali terlalu besar untuk dipikul para siswa. ‘Maha’ membawa makna agung, unggul dan terbaik sedangkan siswa tidak sering begitu. Siswa kini tidak lebih daripada bakal buruh-buruh dengan kepandaian menaip, menyusun fail dan mencatat minit mesyuarat. Jangan paksakan mereka dengan kerumitan lain kerana pasti itu tidak akan tertampung oleh mereka. Penyakit ini kini menjadi wabak nasional, tidak kira siswa dari universiti mana pun–baik universiti APEX, universiti penyelidik sampailah universiti sintok – semuanya tidak immune dengan wabak ini. Lebih haru lagi, penyakit ini bukan hanya hinggap pada siswa – siswa ‘biasa’ sahaja, malah menjangkiti sama ‘pimpinan tertinggi (maha)siswa’ juga.

Siswa kini tidak lagi mampu untuk menerajui isu. Mereka hanya menjadi tukang-tukang sorak kepada apa-apa sahaja agenda pemerintah. Tidak kurang juga yang menjadi ‘ lebih jilat dari lidah kontot’ apabila dengan terkocoh-kocoh mengiakan segala kata pemerintah walaupun belum tuntas butir tujuannya. Kerling sedikit penubuhan Sahabat Satu Malaysia di universiti yang jelas hanya mahu bertenggek di celah-celah politikus opportunis yang bersepah serata universiti. Mereka sibuk melekatkan slogan 1Malaysia dalam setiap program anjuran mereka tapi tidak pula berminat untuk membuka wacana tentangnya. Jangan soal.

Pegawai-pegawai universiti ini pula sama bebal dengan meluluskan kebanyakan program yang hujungnya ada slogan ‘ rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ tanpa banyak kira. Lagi pula apa mereka peduli, “1Malaysia itukan agenda nasional…” Pegawai-pegawai universiti ini juga–khususnya di bahagian Hal Ehwal Pelajar (kini ‘dijenamakan semula’ dengan Pusat Perkembangan Pelajar) – bukan sahaja patuh dan taat setia kepada status-quo universiti, malah sebahagian daripada mereka akan seboleh mungkin meredam aktiviti siswa- bukan Aspirasi/UMNO.

Apakah keuntungannya buat mereka jika Aspirasi kekal menang di kampus? Gaji mereka bukan ditentukan oleh situasi politik kampus. Tambah pelik lagi, jika sungguh pun ada arahan untuk mengekang aktiviti pelajar yang dilihat ‘subersif’ apa perlunya mereka bertungkus-lumus pula memenangkan Aspirasi? Mana datangnya ketaksuban para aparat universiti ini dengan politik kampus? Kesetiaan sebahagian daripada kakitangan/pegawai universiti terhadap status-quo politik kampus ini amat penting untuk difahami kerana mereka ini menurut Gramsci bukan hanya dihegemoni oleh kekuasaan pemerintah, malah berperanan mengukuhkannya pula. Mudahnya kita namakan keadaan ini sebagai kitaran pembodohan. Sekarang mari kita fahami operasi kitaran ini.

Sebagaimana yang difahami umum, setiap aktiviti kelab dan persatuan (termasuk organisasi urusetia) adalah di bawah kawalan unit Hal Ehwal Pelajar/ Pusat perkembangan Pelajar (HEP/PPP). Oleh itu, bukanlah suatu yang pelik jika persatuan/ kelab ini lebih ‘mesra Aspirasi’. Mereka ini akan diasuh oleh HEP/PPP untuk menguruskan organisasi mereka seperti tatacara mesyuarat tahunan, menulis surat mohon kelulusan program, peruntukan dan protokol majlis untuk jemputan VVIP. Mereka tidak pula didorong untuk benar-benar memahami isu dan tema program yang mereka anjurkan. Hal ini kerana para pegawai HEP/PPP ini bukanlah terdidik dalam displin ilmu khusus bagi setiap persatuan/ kelab. Mungkin sebahagiannya hanya lulusan diploma pengurusan pejabat UiTM dan mereka inilah yang akan menentukan boleh atau tidak program pelajar dijalankan.

Maka, apabila persatuan Bahasa Melayu ingin mengadakan forum Kebudayaan Kebangsaan, hal yang akan diberi perhatian adalah soal format surat menyurat, protokol majlis, senarai jemputan, dan bunga manggar. Mutu forum lansung tidak diendahkan. Maka, hasilnya forum tersebut akan megah dan mewah dengan segala macam hiasan, namun isinya hampa.

Dalam masa yang sama, para pelajar ini akan terkongkong dalam universiti kerana sebahagian daripada masa dan daya mereka ditumpukan pada soal pengurusan birokrasi ini. Mereka akhirnya menjadi amat mahir menghafal setiap unit dan jabatan pentadbiran universiti. Perkara ini bukan sahaja menjadi kebanggaan mereka, malah diwajibkan pula ahli-ahli baru persatuan/kelab untuk turut menghafal nama pegawai setiap unit/jabatan.Hujahnya mudah untuk mendapat kerja kelak kerana ada soft skill. Ironinya, sebahagian daripada mereka ini merupakan pelajar lanjut (extend) akibat terlalu leka dengan ‘pengurusan’ persatuan sehingga menangguhkan pengajian.

Akibat terlalu lama (4 hingga 5 tahun) ‘menguruskan’ persatuan, mereka ini terhisap terus dengan struktur sedia ada. Baik daripada cara fikir sehingga membawa kepada cara pakai. Mereka ini mudah dikesan melalui penampilan–berseluar slack hitam dengan baju kemeja (kadang kala berbaju batik), dan sering terlihat mundar mandir di pejabat kedekanan atau HEP/PPP sambil membimbit fail lengkap dengan lambang universiti. Pelajar ini tanpa sedar menjadi tua sebelum usianya.

Oleh kerana itu, apabila para pelajar ini menamatkan pengajian, dengan mudahnya mereka diterima sebagai kakitangan universiti (pastinya sebagai kakitangan pengurusan, bukannya akedemik). Pertamanya kerana hubungan baik mereka dengan pegawai sedia ada dan keduanya kerana kemahiran ‘pengurusan’ yang mereka miliki. Justeru dengan jawatan sedikit tinggi daripada peon, pelajar ini menjadi ‘budak pejabat’ yang disegani. Tambah bebal lagi, mereka ini kemudianya diangkat sebagai penasihat kepada persatuan/kelab di HEP. Maka kitaran kebodohan ini pun lengkap satu pusingan. Tidak hairan juga, mereka ini amat fanatik dengan Aspirasi kerana ketika menjadi pelajar mereka amat aktif dalam persatuan-persatuan tajaan universiti.

Bagi memastikan kitaran pembodohan ini tidak terurai; diperkenalkan pula konsep seniority. Harus diingat, para senior yang telah menjadi kakitangan universiti ini tidak mempunyai autoriti karismatik (kebanyakannya pelajar extend) maka bagi membolehkan kata-kata diterima oleh generasi baru persatuan, konsep seniority ini merupakan pilihan terbaik. Melalui konsep ini, persatuan harus sentiasa merujuk senior untuk membuat sebarang keputusan dan keputusan tertinggi dibuat oleh lembaga khas yang dianggotai oleh kakitangan universiti (merangkap alumnai persatuan).

Hasilnya, persatuan kekal statis dengan program sedia ada dan gagal menjadi medium untuk pelajar berdikari. Senior diimani dengan kepercayaan lebih tahu daripada junior. Bayangnya betapa bebalnya pelajar-pelajar ini, sedangkan umumnya mereka ini dikategorikan sebagai pimpinan persatuan pelajar. usah diperkirakan lagi pelajar yang memang culas mengambil pusing soal berpersatuan. Tidakkah hal ini benar-benar merupakan krisis pendidikan tinggi di negara ini? Sebagaimana inti pemikiran Gramsci tentang hegemoni; Selepas pemikiran dikuasai, maka, tangan, kaki dan badan akan menuruti. Maka sesudah itu idea akan terhenti dan masyarakat membeku mati.

Maka di sinilah benarnya kata – kata W.S Rendra dasar pendidikan kita adalah kepatuhan, bukan pertukaran fikiran; sehingga kata maha terlalu beban buat siswa.

No comments: