-AHMAD BAIE JAAFAR-
Seorang tok guru didatangi tetamu, dengan hormat dia meminta nasihat dan pandangan tentang rumah tangganya yang hampir runtuh. Tok guru itu dengan tenang mengungkai masalah tetamu itu dan seterusnya memberi pilihan beberapa tindakan untuk menyelamatkan rumah tangganya. Dia yang puas hati segera pulang dengan membawa harapan besar.
Tiga bulan kemudian tetamu tersebut datang semula kepada tok guru berkenaan bersama isterinya. Melihat keadaan itu tok guru itu bertanya, apakah ada masalah lagi yang boleh dibantu. Dengan senang hati dia berkata, alhamdulillah kami bahagia malah isteri saya sedang mengandung anak saya. Saya datang nak ucap terima kasih kepada tok guru. Dan sebagai tanda terima kasih, ini cek bernilai RM5,000 untuk tok guru.
Dalam kisah yang lain, seorang Pegawai Daerah yang agak berpengaruh di daerah itu didatangi tetamu di rumahnya. Tetamu tersebut adalah ahli perniagan yang sangat rapat dengan pegawai daerah itu. Kebetulan penjawat itu amat arif tentang gerak kerja bisnes ahli perniagaan itu.
Tetamu itu ingin membuka syarikat sembelihan dan proses ayam segar di kawasan itu. Dia mahu mendapat sokongan pewagai daerah kerana lazimnya sokongannya itu dinilai sebagai benar oleh pihak kerajaan. Oleh kerana menghormati kenalan, walaupun dia tahu tetamu itu tidak mencukupi syarat, dia sokong juga.
Tiga bulan kemudian, tetamu itu datang lagi bertemu pegawai daerah itu. Kali ini dia datang dengan membawa cek bernilai RM 5,000, katanya terima kasih atas sokongan, permohonan itu sudah diluluskan.
Satu kisah lagi seorang Pengarah Projek didatangi oleh seorang tetamu dari luar kawasan, mereka berdua tidak kenal mengenali antara satu sama lain. Dia membuat pertemuan itu dengan penuh pengharapan iaitu satu permohonan untuk membeli rumah di situ. Kebetulan pula rumah di situ menjadi rebutan, tetapi diutamakan kepada orang tempatan.
Dalam pertemuan itu tetamu tersebut merayu kepadanya agar dipertimbangkan permohonan itu. Namun dia dengan tegas berkata, saya boleh bawa perkara ini ke atas tetapi saya tidak jamin kerana ramai yang memohon, lagi pun kita akan utamakan orang tempatan. Awak bukan tinggal di sini.
Keesokan harinya sewaktu di rumah dia menerima cek bernilai RM 5,000 daripada tetamu semalam dengan ucapan terima kasih kerana melayan permohonannya semalam.
Berdasarkan tiga kisah di atas, manakah yang dikatakan hadiah dan mana pula yang dikatakan rasuah? Walaupun kisah itu bukan benar, namun kita boleh melihatnya sebagai contoh kes yang boleh kita renungkan secara serius. Ya, kes yang pertama ada hadiah, tetapi kes kedua dan ketiga adalah rasuah.
Sebenarnya, perbezaan yang jauh ini amat dekat dalam kehidupan kita. Jadi berhati-hati agar kita tidak terjebak dalam kancah yang hina itu, dan berhati-hati juga supaya kita tidak dengan cepat menuduh orang itu dan ini melakukan atau menerima rasuah. Ingatlah kesilapan kita membuat perkiraan, sebenarnya sebahagian kaki kita sudah berada dalam neraka.
No comments:
Post a Comment